Monday, April 23, 2007

Dedikasi Istimewa Untuk Tuan Punya Blog; Nabil Ahmad


Sempena Ulangtahun ke-27, Selamat Hari Lahir!


Semoga nikmat usia yang dianugerahkan diisi dengan rasa kehambaan yang padu dan teratas, serta diserikan dengan taqwa dan kebahagiaan di dua daerah. Dunia dan akhirat.


Semakin kita meniti usia, semakin hampir untuk kita menjejak daerah kematian yang tak siapa sangka hadirnya di muka pintu.


Jadilah hamba yang benar-benar hamba kepada Tuhan segala tuan. Bebaskan diri, akal dan jiwa dari di belenggu ketakutan dan kehinaan yang memungkinkan kita tidak lagi layak bergelar hamba.


Semoga keredaan Allah tidak pernah meminggir, bahkan sentiasa hampir.


Selagi kita menjaga Dia, Dia tidak pernah akan membiarkan kita, walau sekelip mata.


:: Selamat Hari Lahir ::

Wednesday, April 11, 2007

Kisah best!

Rasulullah suka senyum dan ringan tulang


Satu hari, Rasulullah berjalan di pasar. Baginda ternampak ada seorang lelaki tua sedang terkial-kial mengangkat barang yang dibelinya.

Rasulullah menghampiri lelaki tersebut dan menghulurkan tangan untuk membantu. Lelaki tersebut dengan senang hati meminta Rasulullah membawakan barang-barangnya ke rumah.

Lelaki ini tidak mengenali pemuda yang membantunya adalah Muhammad Rasulullah. Sebaik sampai di rumah lelaki tua tersebut, dia berbual dengan pemuda yang tidak diketahui namanya itu.

"Anak, kamu mesti berhati-hati dengan seorang lelaki jahat yang membawa ajaran sesat di Mekah ini," jelas lelaki tua kita.

"Dia bukan sahaja menyesatkan orang awam, tetapi juga buruk akhlaknya," ulas lelaki tadi lagi.

Rasulullah tersenyum mendengar kata-kata lelaki itu.

Baginda terus bertanya, "siapa nama lelaki yang pakcik maksudkan?"

"Muhammad!" jawab lelaki tadi tegas.

Rasulullah menyambung, "Pakcik kenal Muhammad itu?"

"Tak, pakcik cuma dengar cerita dari orang-orang di pasar tadi," jawab lelaki itu.

Rasulullah dengan senyum dan senang hati memperkenalkan dirinya, "Sayalah Muhammad yang pakcik sebutkan tadi."